Ahad, 23 Januari 2011
Pada petang Ahad, semua kuliah tiada kerana waktu tersebut ialah waktu cuti hujung minggu. Jadi, saya hanya duduk di rumah bersama-sama dengan teman serumah yang lain. Kami hanya melapangkan masa dengan berbual-bual sahaja berkaitan masalah dalam pembelajaran, masalah duit pinjaman pelajar iaitu PTPTN dan masalah peribadi. Setelah rancak kami berbual, tiba-tiba salah seorang teman serumah saya menerima panggilan telefon daripada kakaknya. Saya yakin individu yang menelefonnya ialah kakaknya kerana saya dan teman serumah yang lain sempat mendengar perbualan telefonnya. Perbualan telefon yang sempat didengar adalah seperti berikut:
Teman serumah : Kak Cik apa kabo?
: Tengah buat pe?
Mereka meneruskan perbualan dengan rancak. Tiba-tiba, beberapa perkataan yang tidak sedap didengar keluar daripada mulut teman serumah saya. Perkatan tersebut adalah seperti berikut:
Teman serumah : “bodoh” betul buat camtu
: suka sangat “nganjingkan” orang
: “meroyan dengan jantan”
Saya dengan teman serumah yang lain saling berpandangan dan masing-masing memikirkan perkara sebenarnya yang berlaku antara teman serumah saya dengan kakaknya atau melibatkan individu lain. Kami hanya mendiamkan diri dan masing-masing menyambung topik perbualan kami serta membiarkan teman serumah tersebut meneruskan perbualan telefon tersebut.
Walau bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan sikapnya yang sewenang-wenangnya melontarkan kata-kata yang menyakitkan telinga. Walaupun, kata-kata tersebut bukan ditujukan untuk saya tetapi saya menganggap perkataan yang dilontarkan melambangkan dirinya kurang sopan dan tidak mempunyai kebijaksanaan dalam memilih perkataan untuk berkomunikasi. Sebelum ini, saya ada menghadiri perhimpunan PERBAYU, saya memperolehi satu ilmu yang menyatakan bahawa perkataan tabo yang didengari boleh mematikan sel dalam otak si pendengar. Cadangan saya, walaupun berat sekalipun masalah yang dihadapi, tanganilah dengan rasional dan bijak supaya tindakan tersebut tidak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang sekeliling. Hapuskanlah seboleh mungkin kata-kata yang dikira amat kesat dan hina nilainya. Fikirkanlah bahawa betapa ruginya manusia yang berkata-kata sedemikian kerana tidak mendapat sebarang manfaat. Kata-kata tabo itu bukannya mampu mengurangkan masalah yang dihadapi malahan menambahkan cemuhan orang terhadap individu tersebut. Selain itu, kebijaksanan menyusun strategi untuk mengawal emosi juga penting supaya tindakan dan kata-kata yang dilaksanakan mampu mendapat persepsi positif daripada orang lain.
No comments:
Post a Comment