Isnin, 24 Januari 2011
Antara pendiskusi yang hadir pada hari tersebut ialah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof Hasan, Prof. Dr. Mana Sikana dan Dr. A. Halim Ali. Diskusi ini berlangsung selama dua jam setengah dan telah dihadiri oleh para pensyarah dan mahasiswa UPSI. Isu hangat ini sememangnya memberi ruang dan peluang untuk masing-masing bersuara sama ada novel Interlok ini hendak dimurnikan, dihapuskan atau dikekalkan. Pelbagai persepsi masyarakat terhadap novel ini. Prof. Dr. Mana Sikana telah mencadangkan bahawa teks yang asal terus dikekalkan dan orang India perlu menerima hakikat. Selain itu, seorang pendiskusi lain menyifatkan bahawa sastera mempunyai matlamat yang khusus. Beliau mengatakan bahawa sastera merupakan karya indah dan bermanfaat serta beradab untuk kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat. Sastera bukan hanya menampakkan cerita, estetik, nilai kreatif, imaginasi, kehebatan penulis dan realiti semata-mata. Sebaliknya, masyarakat perlu memahami bahawa sastera merupakan alat untuk menyampaikan ilmu, mencari kebenaran, memberi pengajaran, wahana pembinaan peradaban, pemupuk nilai-nilai murni, mencerminkan kesepaduan estetik, perkaitan dengan agama dan style dengan kebenaran. Di samping itu, pendiskusi tersebut juga berpendapat bahawa tema novel Interlok ialah perjuangan iaitu perjuangan untuk survival diri. Ketiga-tiga kaum yang terlibat dalam novel ini iaitu Melayu yang diwakili oleh Seman, kaum Cina yang diwakili oleh Ching Huat dan kaum India yang diwakili oleh Maniam. Masing-masing berjuang untuk memastikan kehidupan mereka dapat dijalankan seperti biasa serta dapat diubah supaya menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Pada pandangan saya, masih terdapat penggunaan bahasa Inggeris dalam ucapan yang disampaikan oleh pendiskusi tersebut kerana istilah yang wujud dalam dunia sastera. Namun, penggunaan bahasa Inggeris ini boleh dielakkan dengan cara menukarkan istilah khusus tersebut dalam bentuk bahasa Melayu. Hal ini membolehkan masyarakat lebih mudah untuk menerima idea-idea yang disampaikan. Kebanyakan masyarakat yang berkecimpung dalam dunia sastera ialah masyarakat Melayu. Oleh itu, tidak salah jika penggunaan seratus peratus bahasa Melayu dalam membincangkan istilah sastera dengan lebih konkrit dan mendalam diaplikasikan. Penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya juga mampu menaik taraf perkembangan bahasa Melayu yang boleh dikatakan mampu menyampaikan ilmu lain dengan hanya menggunakan satu bahasa sahaja. Sebagai generasi muda, perlu sentiasa mencari strategi baru untuk memastikan bahasa Melayu terus menjadi perantara utama dalam menyampaikan ilmu pengetahuan.
No comments:
Post a Comment