Jumaat, 22 Januari 2011
Seminar ini dihadiri oleh tokoh bahasa terkenal iaitu Prof. Dr. Awang Sariyan yang sedang bercuti musim sejuk. Beliau sanggup meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dengan semua pelajar dan pensyarah UPSI amnya dan para pelajar kursus sosiolinguistik khususnya yang menjadi subjek wajib program bahasa Melayu. Beliau juga merupakan seorang pemegang kursi pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU). Saya kagum dengan kepetahannya apabila berbicara kerana setelah saya perhatikan sepanjang tiga jam ucapannya tiada kesalahan dari segi fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik yang dilakukan. Penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu juga tidak disisipkan dalam ucapannya. Hal ini bermakna beliau amat peka apabila berbahasa supaya tidak berlakunya fenomena penggunaan bahasa rojak. Isu yang dibincangkan berkaitan bahasa dan masyarakat. Sebanyak sepuluh buah topik yang berjaya dibincangkan semasa seminar tersebut. Antaranya termasuklah topik kedwibahasaan dan keanekabahasaan, kesan interaksi antara budaya melalui pelbagai bidang, variasi bahasa, hubungan anatara sistem sosial dan bahasa serta kesinambungan dan perubahan bahasa faktor fenomena kesinambungan bahasa.
Pada pandangan saya, program seperti ini perlu dikekalkan supaya bahasa Melayu dapat dimartabatkan. Lantaran, sambutan yang menggalakkan kerana saya sempat bertemu denagn seorang penuntut UKM yang sanggup datang ke UPSI untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan. Saya berazam dalam diri supaya dapat menjadi seorang guru bahasa Melayu yang dapat memperkasakan bahasa dengan penggunaan yang betul semasa di sekolah nanti. Jauh di sudut hati saya juga ingin menjadi tokoh bahasa yang berkaliber dan bijak menyusun strategi demi memartabatkan bahasa Melayu
No comments:
Post a Comment